Monday, October 22, 2007

Ulasan mengenai ketiga-tiga artikel yang berkaitan denga isu pendatang asing

Masalah lambakan pendatang asing telah lama terjadi negara kita. Malah kita sudah lali dengan pendatang asing, yang sentiasa memenuhi bandar-bandar terutamanya Kuala Lumpur. Malaysia dianggap rumah kedua dan lubuk emasa bagi mereka. Pendatang asing tersebut bukan setakat dari Indonesia, malah ada yang datang dari Vietnam, India, Bangladesh, Kemboja dan banyak lagi..

Sekarang, isu tersebut semakin hangat diperkatakan. Ini adalah kerana, pendatang asing telah menutup peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, terutamnya kaum wanita. Sektor perindustrian, perladangan dan buruh kasar telah dimonopoli oleh rakyat asing. Lepasan-lepasan SPM yang ingin bekerja sebagai pekerja kilang mendapati peluang pekerjaan semakin terhad. Ini menyebabkan kadar pengangguran rakyat Malaysia semakin meningkat.

Lambakan pendatang asing juga telah meningkatkan kadar jenayah di negara kita. Lihat sahaja, penghuni-penghuni penjara, kebanyakannya pendatang asing. Kebanyakkan pendatang asing terlibat dalam kes jenayah seperti rompakan, ragut dan sebagainya. Ini menyebabkan kita berasa tidak selamat untuk tinggal di negara sendiri.

Mengapakah lambakan pendatang asing berlaku?

Mengikut teori Mcgee, Malaysia dianggap lubuk emas, yang membolehkan mereka mencari rezeki. Ini kerana, peluang pekerjaan di negara asal mereka sangat terhad, contohnya di Indonesia.

Selain itu, keadaan negara mereka yang tidak aman. Jadi, mereka berpindah ke Malaysia kerana mendapati negara ini selamat untuk didiami berbanding dengan negara mereka yang penuh dengan peperangan dan kekecohan.Malaysia juga bebas dari bencana alam.

Pekerja-pekerja asing juga tidak memilih dalam pekerjaan berbanding dengan rakyat Malaysia. Mereka sanggup melakukan apa sahaja, dari buruh kasar hingga orang gaji, asalkan mereka dibayar gaji walaupun sedikit.

Seterusnya, syarat kemasukan imigrasi longgar. Ini menyebabkan negara kita senang untuk dimasuki oleh pendatang asing dari pelbagai negara.

Kesimpulannya, lambakan pendatang asing haruslah ditangani dengan segera. Ini adalah kerana, lambakan pendatang asing akan memberi impak buruk kepada negara kita. Masalah ini juga akan menjejaskan ekonomi dan imej negara kita. Pihak kerajaan seharusnya memperketatkan syarat kemasukan warga asing ke negara kita.

Lagi mengenai lambakan pendatang asing

Pertambahan pekerja asing bebankan negara

Mereka bukan saja dominasi pekerjaan pelbagai sektor, malah memenuhi penjara di beberapa negeri SEKARANG ada hampir dua juta pekerja asing di negara kita. Kenyataan ini dibuat baru-baru ini oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow. Isu pekerja asing ini bukan perkara baru. Bermula dengan pekerja dari Indonesia, negara kini mempunyai ribuan pekerja asing dari pelbagai negara seperti India, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Vietnam dan China. Apabila begitu ramai pekerja asing di sesebuah negara, ia menunjukkan dua kemungkinan. Pertama, negara itu boleh diibaratkan sebagai 'lubuk emas' yang menawarkan rezeki lumayan kepada sesiapa yang sanggup membanting tulang.
Kedua, negara berkenaan ketandusan sumber pekerja sehinggakan terpaksa bergantung kepada kudrat pekerja negara lain. Di negara kita hari ini, daripada tapak pembinaan, ladang, kebun sayur, kedai makan, pasar hingga ke pejabat berhawa dingin, rumah kediaman dan pelbagai lagi lokasi, kita boleh lihat pekerja asing. "Kita lihat jumlah itu adalah angka yang tinggi. Apabila jumlah mereka terlalu ramai, kita bimbang akan berlaku kesukaran untuk mengawal pergerakan mereka. Lebih membimbangkan apabila ada yang gagal memperoleh sebarang kerja di negara ini bertindak di luar jangkaan termasuk melakukan jenayah," demikian kata Fu. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri baru-baru ini turut membuat kenyataan bahawa warga asing bukan saja membanjiri pasaran pekerjaan dalam negara, malah turut menjadi hampir sebahagian daripada penghuni penjara di negara ini. Daripada 49,000 penghuni penjara, kira-kira 24,000 adalah warga asing.
Kebimbangan yang disuarakan timbalan menteri itu sudah tentu bukan hanya suara hatinya mahupun pihak kerajaan semata-mata. Pasti majoriti rakyat negara ini turut gusar terutama dari aspek keselamatan. Justeru, apa yang seharusnya dilakukan bagi mengurangkan pergantungan kita kepada pekerja asing ini? Kerajaan meminta majikan tempatan termasuk peladang dan pengusaha industri supaya tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing bagi mengurangkan kadar jenayah dan masalah sosial membabitkan kumpulan berkenaan. Seakan boleh dibaca jawapan yang bakal dilontarkan pihak berkenaan. Alasan 'tiada pekerja tempatan yang mahu bekerja di ladang atau tapak binaan mahupun menjadi pembantu rumah' sudah boleh dijangka. Rata-rata isu ini ada kaitannya dengan kadar upah dan sikap rakyat tempatan yang terlalu memilih kerja berbanding pekerja asing yang lebih kepada 'kurang tapak tangan nyiru ditadahkan' dalam merebut segala peluang pekerjaan di negara ini.
Panas juga telinga kalau mendengar komen orang luar yang menggelarkan rakyat Malaysia sebagai ‘2M’ iaitu malas dan manja. Mungkin ada kebenarannya jika kita ambil kira bilangan pekerja asing yang semakin meningkat. Penasihat Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Dr Hamdan Adnan, berkata bilangan pekerja asing di Malaysia terlalu ramai dan meminta kerajaan membuat pemantauan yang lebih rapi. "Dua sektor utama yang menggunakan pekerja asing ialah pembinaan dan perladangan. Untuk itu, apabila satu-satu majikan membuat permohonan untuk mengambil pekerja asing, apa yang perlu dilihat dan diteliti sebaik-baiknya ialah sama ada permohonan itu wajar atau tidak. "Pihak berkenaan mesti membuktikan yang mereka tidak dapat mencari pekerja tempatan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mereka," tegas Prof Hamdan. Beliau juga berpendapat pihak majikan juga tidak boleh lagi menjadikan alasan pekerja tempatan tidak berdisiplin atau pekerja tempatan menuntut upah yang tinggi untuk mengambil pekerja asing. "Kalau di kampung pekerja buat jalan boleh dibayar sehingga RM100 sehari, mengapa upah yang sama tidak boleh dibayar untuk buruh yang bekerja di bandar. Daripada segi disiplin ini bukan satu masalah kerana ia boleh diatasi," ujarnya. Pihak majikan tidak boleh mengambil jalan mudah menggunakan pekerja asing dengan anggapan langkah itu lebih menjimatkan kos walhal mereka perlu mengeluarkan pelbagai belanja untuk membawa masuk pekerja berkenaan. "Lagi pun negara akan terus menanggung kerugian besar apabila berjuta atau berbilion mata wang negara mengalir keluar," jelas Hamdan yang merujuk kepada wang yang dikirim pekerja asing ke kampung halaman masing-masing. Pada masa yang sama, beliau mencadangkan Jabatan Tenaga Manusia membuat bancian jumlah guna tenaga yang boleh dibekalkan kepada sektor yang amat memerlukan pekerja. Latihan, katanya adalah satu lagi bidang yang perlu diberi perhatian untuk memastikan guna tenaga tempatan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Faktor utama yang menjadi tonggak pembangunan dan kemajuan sesebuah negara ialah modal insan dan ini yang menjadi teras kedua antara lima teras utama misi nasional Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9). Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan RMK-9 pada 31 Mac 2006 berkata: "Kita perlu bertindak pantas. Kita mempunyai kurang 15 tahun untuk capai Wawasan 2020. Kita perlu menjadikan tempoh ini sebagai tempoh yang paling produktif dan paling bermakna, demi mencapai cita-cita kita." Justeru, sama ada berjaya atau gagal usaha menjana modal insan sendiri boleh diukur daripada bilangan pekerja asing yang masih mengaut peluang pekerjaan di negara ini. Pada masa sama, jangan pula kita hanya bertumpu untuk melahirkan cerdik pandai serta intelek dan meminggirkan keperluan menghasilkan golongan pekerja kolar biru. Statistik pengangguran di kalangan graduan dan lepasan Tingkatan Lima yang disebut dalam lingkungan 90,000 orang turut menunjukkan kita bukan kekurangan sumber guna tenaga. Tetapi di mana mereka ini? Begitu juga statistik yang menunjukkan kira-kira 242,190 atau 3.8 peratus daripada 6.3 juta pelajar sekolah di seluruh negara gagal menghabiskan pengajian mereka sehingga Tingkatan Lima. Sekali lagi persoalannya, di mana mereka? Anak ini walaupun tidak cemerlang dalam pelajaran boleh dilatih menjadi pekerja mahir atau separuh mahir. Kesungguhan pihak berwajib menjejaki dan mengasuh golongan yang tercicir ini mungkin dapat mengurangkan pergantungan kita kepada pekerja asing. – Bernama

Isu terkini: Masalah lambakan pendatang asing

Meniti Arus: Dasar ambil buruh asing wajar diubah

Bersama Abdul Rahman Sulaimanrahmansulaiman@yahoo.com

Lambakan pendatang tanpa izin mampu jejas 'lubuk rezeki' rakyat sendiri DIN (nama penuh tidak diketahui), berusia sekitar 40-an, sudah beristeri dan mempunyai tiga anak. Dia adalah pendatang asing (statusnya juga tidak diketahui) yang berasal dari Kalimantan. Beliau datang ke Malaysia sendirian, meninggalkan anak isteri. Anak sulungnya, gadis berusia 20-an, sudah pun bekerja di sebuah bank di Jakarta. Menurut Din, beliau mempunyai tauliah sebagai kapten kapal dari Akademi Laut di Jakarta, pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat perkapalan asing dan biasa menghadapi saat-saat cemas yang hampir meragut nyawanya apabila kapal beliau karam di tengah lautan. Beliau datang ke Malaysia untuk bertukar angin beberapa tahun lalu. Mula-mula bekerja sebagai pekerja kontrak dengan beberapa firma pembinaan ternama. Kemudian berhenti dan membuat keputusan bekerja sendiri dengan mengambil upah membuat sebarang kerja menggunakan tulang empat kerat.
Din diperkenalkan kepada penulis oleh seorang jiran bergelar Datin. Menurut Datin yang cukup tertarik dengan peribadi warga asing itu yang warak, berbudi bahasa, kuat bekerja dan pandai menghormati orang, Din boleh diminta khidmatnya untuk sebarang odd jobs. Secara kebetulan Din bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan tidak rasmi di banglo milik bekas seorang duta yang ditinggalkan kosong berhampiran rumah penulis. Penulis bertanya kepada Din apa yang beliau boleh buat. Katanya, dia boleh mengubahsuai rumah, membersihkan longkang tersumbat, memperbaiki bumbung bocor, menebang pokok, menebas atau apa saja tugas yang dikehendaki.

Penulis minta beliau membersihkan semak samun sebuah lot banglo kosong di belakang rumah. Lot terbiar yang dulunya lapang dan bersih serta menjadi tempat permainan anak kini menjadi belukar tempat bersarang pelbagai jenis ular, biawak dan bermacam spesies burung serta unggas.

Din bersetuju melaksanakan tugas itu dengan upah RM70 sehari. Mulanya penulis menjangkakan tugas itu boleh dibereskan dalam tempoh lima enam hari saja, tetapi beliau mengambil masa lebih 20 hari untuk membersihkan kawasan dimaksudkan. Itu pun dengan bantuan seorang pekerja lain. Masa yang begitu panjang diambil kerana Din dan rakannya tidak bekerja sepenuh hari, atau sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Apabila hujan turun, beliau pulang dan tidak muncul-muncul lagi.

Akhirnya penulis terpaksa mengeluarkan hampir RM2,000 untuk membersihkan kawasan milik orang lain.

Apabila wang upah itu diserahkan, Din tersenyum puas sambil berkata, "Malaysia sebenarnya negara yang cukup bertuah. Banyak rezeki di sini jika kita rajin".

Penulis angguk saja. Terfikir dalam hati, "aku juga yang tersilap kerana bersetuju dengan upah harian dan bukan dengan secara borong."

Apa pun, Din mungkin benar-benar berasakan beliau dan rakannya cukup rajin sedangkan rakyat Malaysia tidak serajin beliau, jika tidak malas.

Walaupun pendapat Din ini mungkin suara hati terpencil seorang rakyat Indonesia, sedikit sebanyak ia membayangkan persepsi warga asing terhadap sikap pekerja tempatan.

Sekurang-kurangnya inilah yang sering digembar-gemburkan oleh majikan tempatan yang nampaknya berlumba-lumba mengaji pekerja asing dengan alasan kononnya pekerja tempatan tidak berminat.

Pendapat ini sedikit sebanyak mempengaruhi kerajaan yang terpaksa membuat penyesuaian dasar berhubung pengambilan pekerja asing untuk memastikan kelangsungan perkembangan ekonomi negara.

Jika pada mula-mula dulu pengambilan pekerja asing dihadkan kepada sektor pembantu rumah, kerajaan terpaksa membukanya kepada sektor lain seperti perladangan, runcit dan perkilangan pada pertengahan era 80-an di atas desakan majikan.

Jika dulunya sumber pembekal pekerja asing cuma terhad kepada beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina, pinta Malaysia kini terbuka kepada pekerja dari Bangladesh, Myanmar, Thailand, India, Vietnam, Kemboja dan lain-lain.

Kini negara dikatakan menjadi syurga kepada kira-kira 2.5 juta pekerja asing, termasuk yang datang tanpa izin dengan kadar kemasukan 1,600 orang sehari.

Kebanjiran pekerja asing ini pada akhir-akhir menarik perhatian rakyat apabila akhbar melaporkan beberapa kejadian membabitkan mereka.

Di sana sini orang ramai yang mula berasa rimas dan terancam dengan kehadiran terlalu ramai pendatang asing di kawasan tertentu mula menuding jari kepada pihak terbabit. Mereka mahukan langkah sewajarnya diambil untuk mengurangkan masalah ini sebelum terlambat dan menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Seorang guru dari Perak yang menghadiri kursus di sebuah hotel di kawasan Chow Kit, baru-baru ini memberitahu penulis bahawa beliau terpaksa berkurung di bilik hotel di sepanjang kursus kerana takut keluar, walaupun beliau terlalu ingin bersiar-siar di kawasan yang pada satu masa dulu menjadi tumpuan pelancong tempatan.

Guru itu yang sudah lama tidak turun ke Kuala Lumpur sebenarnya tidak mengetahui bahawa kawasan Chow Kit sudah lama menjadi 'kawasan larangan' bagi penduduk tempatan kerana diambil alih pendatang asing.

Dari segi maruah, kebanjiran pekerja asing, terutama daripada satu-satu negara sumber, menjejaskan negara. Sebagai contoh, baru-baru ini apabila hubungan Malaysia-Indonesia menghadapi ketegangan akibat tindakan polis terhadap seorang jurulatih karate dari Indonesia, akhbar dan beberapa orang aktivis anti-Malaysia di negara sahabat itu mempersendakan pencapaian Malaysia yang secara kebetulan ketika itu sedang sibuk merayakan ulang tahun ke-50 kemerdekaan. Kononnya Malaysia tidak akan berada di tahap sekarang tanpa sumbangan pekerja dari Indonesia.

Pesanan ringkas dikirim melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) serta e-mel yang disebarkan pihak tertentu di Indonesia ke seluruh negara itu, yang secara kebetulan dikesan oleh penulis antara lain mengingatkan rakyat mereka supaya jangan terlalu kagum dengan pencapaian Malaysia.

Menurut mesej itu, Malaysia tidak mempunyai apa-apa. Di samping lagu Rasa Sayang yang dicuri dari Indonesia, Malaysia juga mencuri batik dan alat muzik angklong dari negara jiran itu.

Mesej itu juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ketika mereka enak menikmati juadah ketupat dengan rendang ketika menyambut Aidilfitri, mereka jangan lupa bahawa rendang itu dicuri dari Indonesia.

Ada juga yang tergamak mengakui bahawa Malaysia berjaya menghantar angkasawan pertamanya ke angkasa lepas kerana angkasawan itu berjaya hasil didikan awal ketika zaman kanak-kanannya oleh pembantu rumah Indonesia.

Begitulah hinanya Malaysia pada pandangan sesetengah orang asing. Namun, dari segi yang lebih serius, kebanjiran pekerja asing di Malaysia kini dikatakan bukan saja menjejaskan peluang rakyat tempatan mendapatkan pekerjaan, tetapi juga mencetuskan pelbagai masalah lain kerana ramai antara mereka masuk ke negara ini tanpa mengikut saluran sah.

Ada juga mengaitkan mereka dengan peningkatan kadar jenayah sekarang, terutama jenayah berat.

Apa pun, sebelum tuduh menuduh di antara kesatuan sekerja, majikan atau jabatan kerajaan berlarutan untuk mencari siapa bersalah dan bertanggungjawab terhadap masalah kebanjiran pekerja asing ini, ada baiknya jika semua pihak secara ikhlas dan jujur merenung kembali peranan serta keperluan masing-masing tanpa membelakangkan kepentingan jangka panjang negara.

Satu hakikat yang harus diakui ialah peranan kerajaan berhubung pekerja asing ini terhad kepada pembentukan dasar. Dasar kerajaan dirumus berpandukan kepada keperluan dan permintaan dan ia boleh dipinda dari semasa ke semasa.

Jika dasar yang ada sekarang dikatakan liberal, ia menjadi begitu kerana sikap majikan dan keperluan pasaran yang juga liberal. Perlu diingat bahawa orang asing tidak akan berlumba-lumba datang ke negara ini hanya kerana adanya faktor penolak di negara asal mereka. Mereka datang kerana faktor penarik yang ada di sini.

Jika Malaysia dianggap lombong emas menjadi faktor penarik kepada pendatang asing, sudah sampai masanya emas itu dikongsi bersama oleh rakyat tempatan. Adalah tidak adil membiarkan Din dan rakannya membolot emas itu sendirian.

Datuk Abdul Rahman Sulaiman, bekas Ketua Pengarang Bernama dan pernah menjadi Ahli Parlimen, adalah Pengarah Komunikasi Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri

Berita Harian

Keratan Akhbar Berita Harian

Mustapa yakin program mampu maju Kelantan

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

JELI: Pelaksanaan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan akan menggalakkan usaha memajukan semula prasarana negeri ini yang sudah tertangguh sejak 17 tahun lalu. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata ECER akan merancakkan semula kerja pembangunan di Kelantan yang sebahagian besarnya banyak tertunggak. Katanya, Kelantan yang diterajui kerajaan pimpinan Pas, meminggirkan negeri itu hampir 17 daripada arus pembangunan pesat dan ketinggalan berbanding negeri lain di Malaysia.

"Jadi, pembentukan ECER yang turut merangkumi Kelantan dilihat sebagai satu rahmat kepada negeri ini dalam usaha menggalakkan semula segala perancangan pembangunan di negeri ini yang sudah tertunggak hampir 17 tahun," katanya kepada media sempena majlis sambutan Aidilfitri pemimpin bersama rakyat di Darul Falah di sini, semalam. ECER yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akhir bulan ini merentangi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing, Johor membabitkan pelaburan berjumlah RM112 bilion. Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata di bawah ECER, kerajaan Pusat akan memberi tumpuan kepada usaha pembangunan prasarana khususnya dalam memantapkan sistem jalan rayanya.

"Sekiranya prasarana tidak mantap, ia akan menyukarkan minat pelabur asing dan pelancong untuk membuat pelaburan di negeri ini. "Oleh itu, ECER berupaya membuka negeri ini kepada pelabur asing dan pelancong sekali gus menjana pendapatan ekonomi negeri dan penduduknya," katanya. Katanya, melalui penubuhan universiti dan kolej komuniti di negeri ini, ia berupaya memberikan input dan idea baru ke arah merancakkan lagi pembangunan Kelantan.

ULASAN ARTIKEL

Artikel di atas membincangkan cadangan dan usaha pihak kerajaan dalam membangunkan negeri Kelantan. Ini menunjukkan kerajaan prihatin terhadap negeri tersebut walaupun negeri tersebut diterajui oleh parti pembangkang. Pelbagai prasana dan infrastuktur yang akan disediakan oleh pihak kerajaan yang bakal dirasai oleh semua penduduk Kelantan. Antaranya Penubuhan universiti dan kolej komuniti, membaikpulih sistem jalanraya dan sebagainya.

Dengan melakukan pembangunan terhadap negeri Kelantan, ini akan menarik pelancong dan pelabur asing untuk datang ke negeri tersebut. Ini akan memberi impak yang baik terhadap ekonomi negeri dan penduduknya. Kemungkinan, satu hari nanti Negeri Kelantan akan setanding dengan negeri-negeri yang maju di Malaysia

Keratan Akhbar Berita Harian

Mustapa yakin program mampu maju Kelantan

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

JELI: Pelaksanaan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan akan menggalakkan usaha memajukan semula prasarana negeri ini yang sudah tertangguh sejak 17 tahun lalu. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata ECER akan merancakkan semula kerja pembangunan di Kelantan yang sebahagian besarnya banyak tertunggak. Katanya, Kelantan yang diterajui kerajaan pimpinan Pas, meminggirkan negeri itu hampir 17 daripada arus pembangunan pesat dan ketinggalan berbanding negeri lain di Malaysia.

"Jadi, pembentukan ECER yang turut merangkumi Kelantan dilihat sebagai satu rahmat kepada negeri ini dalam usaha menggalakkan semula segala perancangan pembangunan di negeri ini yang sudah tertunggak hampir 17 tahun," katanya kepada media sempena majlis sambutan Aidilfitri pemimpin bersama rakyat di Darul Falah di sini, semalam. ECER yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akhir bulan ini merentangi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing, Johor membabitkan pelaburan berjumlah RM112 bilion. Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata di bawah ECER, kerajaan Pusat akan memberi tumpuan kepada usaha pembangunan prasarana khususnya dalam memantapkan sistem jalan rayanya.

"Sekiranya prasarana tidak mantap, ia akan menyukarkan minat pelabur asing dan pelancong untuk membuat pelaburan di negeri ini. "Oleh itu, ECER berupaya membuka negeri ini kepada pelabur asing dan pelancong sekali gus menjana pendapatan ekonomi negeri dan penduduknya," katanya. Katanya, melalui penubuhan universiti dan kolej komuniti di negeri ini, ia berupaya memberikan input dan idea baru ke arah merancakkan lagi pembangunan Kelantan.

Sunday, October 21, 2007

Keratan Akhbar Utusan Malaysia..

Isu pekerja asing: Iklan pekerja tempatan hanya seminggu

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Kementerian Sumber Manusia kecewa wujud kelemahan dalam penguatkuasaan peraturan kemasukan pekerja asing ke Malaysia sehingga mengakibatkan kebanjiran pekerja asing di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, kelemahan itu terbukti apabila majikan hanya mengiklankan kerja kosong dalam akhbar untuk dipohon oleh rakyat tempatan dalam tempoh seminggu sahaja sedangkan syarat ditetapkan ialah selama sebulan.
“Kita kecewa kerana syarikat terbabit tidak dikenakan tindakan oleh kementerian berkenaan sebaliknya masih boleh membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen bagi mengambil pekerja asing dengan alasan tiada rakyat tempatan berminat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk N. Siva Subramaniam semalam bahawa keghairahan majikan Malaysia mengambil pekerja asing bekerja dalam sektor perkhidmatan telah menyekat peluang lebih dua juta wanita di negara ini untuk mendapatkan pekerjaan.
Siva Subramaniam berkata, fenomena itu berlaku kerana majikan swasta di negara ini secara senyap dan sistematik cuba menggantikan pekerja tempatan terutama wanita dengan warga asing semata-mata untuk membayar gaji lebih murah.
Sebanyak 2.5 juta atau kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan 11 juta pekerja di negara ini terdiri daripada rakyat asing termasuk yang masuk secara haram.
Menurut Abdul Rahman, kelonggaran penguatkuasaan itu adalah jelas apabila Jabatan Imigresen terpaksa menempatkan pekerja asing di aras tiga ruang letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang baru-baru ini setelah sebahagian besar daripada mereka tidak dituntut oleh ejen atau majikan.
“Saya yakin perkara ini tidak akan berlaku sekiranya kementerian yang meluluskan permohonan ini membuat siasatan teliti bagi memastikan majikan berkenaan benar-benar terdesak untuk mendapatkan pekerja asing,” ujarnya.
Abdul Rahman menegaskan, pihaknya juga mahu sektor perkilangan, stesen minyak dan pusat membeli-belah tidak dibuka kepada pekerja asing kerana masih ramai rakyat tempatan yang berminat bekerja.
Katanya, bagi sektor kawalan keselamatan, ia juga hanya boleh dibuka kepada bekas anggota polis, tentera dan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
“Pekerja asing hanya boleh bekerja di sektor yang tidak digemari rakyat tempatan kerana kotor dan menggunakan banyak tenaga seperti pembinaan dan ladang kelapa sawit serta getah,” tegasnya.
Mengenai angka dua juta yang diberikan oleh Suhakam itu, beliau yakin jumlah wanita Malaysia yang tidak mendapat pekerjaan kerana diambil alih oleh pekerja asing tidak seramai itu.
“Ini berdasarkan perangkaan kita bahawa daripada 2.5 juta pekerja asing di negara ini, kurang daripada 20 peratus adalah terdiri daripada wanita.
“Jika Suhakam mempunyai data bagi menyokong dakwaan ini, mereka perlu mendedahkannya kepada umum kerana angka ini adalah sesuatu yang besar,” jelasnya.

Wednesday, October 10, 2007

Dasar Ekonomi Baru Membantu Pembangunan Kawasan Luar Bandar..

Artikel Asal


Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1970-1990) di Malaysia diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ianya telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk:mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; danmempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Ulasan artikel di atas
DEB diperkenalkan bagi memperhebatkan lagi industrilisasi di negara kita. Sebelum DEB diperkenalkan, wujudnya jurang antara kaum dari segi ekonomi. DEB juga memberi tumpuan terhadap kawasan luar bandar. Hal ini adalah kerana, sejak industri dibina, kerajaan lebih menumpukan pada pembangunan bandar.Kerajaan membina lebih banyak infrastruktur di bandar, kerana pertambahan penduduk di bandar. Selain itu, infrastruktur dibina untuk pelabur-pelabur asing yang datang masuk ke Malaysia. Ini menyebabkan kawasan luar bandar ketinggalan dari segi pembangunan. Walaubagaimanapun, DEB menyelesaikan masalah tersebut dengan memberi penekanan terhadap pembangunan kawasan luar bandar. Melalui DEB, kerajaan akan cuba mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum antara kawasan bandar dan luarbandar dan antara wilayah dan memodenkan kehidupan di luarbandar

Posted by Radhia Haafiza Che Razali (A115023) at 10:13 PM 0 comments Links to this post