Monday, October 22, 2007

Keratan Akhbar Berita Harian

Mustapa yakin program mampu maju Kelantan

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

JELI: Pelaksanaan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan akan menggalakkan usaha memajukan semula prasarana negeri ini yang sudah tertangguh sejak 17 tahun lalu. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata ECER akan merancakkan semula kerja pembangunan di Kelantan yang sebahagian besarnya banyak tertunggak. Katanya, Kelantan yang diterajui kerajaan pimpinan Pas, meminggirkan negeri itu hampir 17 daripada arus pembangunan pesat dan ketinggalan berbanding negeri lain di Malaysia.

"Jadi, pembentukan ECER yang turut merangkumi Kelantan dilihat sebagai satu rahmat kepada negeri ini dalam usaha menggalakkan semula segala perancangan pembangunan di negeri ini yang sudah tertunggak hampir 17 tahun," katanya kepada media sempena majlis sambutan Aidilfitri pemimpin bersama rakyat di Darul Falah di sini, semalam. ECER yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akhir bulan ini merentangi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing, Johor membabitkan pelaburan berjumlah RM112 bilion. Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata di bawah ECER, kerajaan Pusat akan memberi tumpuan kepada usaha pembangunan prasarana khususnya dalam memantapkan sistem jalan rayanya.

"Sekiranya prasarana tidak mantap, ia akan menyukarkan minat pelabur asing dan pelancong untuk membuat pelaburan di negeri ini. "Oleh itu, ECER berupaya membuka negeri ini kepada pelabur asing dan pelancong sekali gus menjana pendapatan ekonomi negeri dan penduduknya," katanya. Katanya, melalui penubuhan universiti dan kolej komuniti di negeri ini, ia berupaya memberikan input dan idea baru ke arah merancakkan lagi pembangunan Kelantan.

No comments: