Sunday, October 21, 2007

Keratan Akhbar Utusan Malaysia..

Isu pekerja asing: Iklan pekerja tempatan hanya seminggu

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Kementerian Sumber Manusia kecewa wujud kelemahan dalam penguatkuasaan peraturan kemasukan pekerja asing ke Malaysia sehingga mengakibatkan kebanjiran pekerja asing di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, kelemahan itu terbukti apabila majikan hanya mengiklankan kerja kosong dalam akhbar untuk dipohon oleh rakyat tempatan dalam tempoh seminggu sahaja sedangkan syarat ditetapkan ialah selama sebulan.
“Kita kecewa kerana syarikat terbabit tidak dikenakan tindakan oleh kementerian berkenaan sebaliknya masih boleh membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen bagi mengambil pekerja asing dengan alasan tiada rakyat tempatan berminat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk N. Siva Subramaniam semalam bahawa keghairahan majikan Malaysia mengambil pekerja asing bekerja dalam sektor perkhidmatan telah menyekat peluang lebih dua juta wanita di negara ini untuk mendapatkan pekerjaan.
Siva Subramaniam berkata, fenomena itu berlaku kerana majikan swasta di negara ini secara senyap dan sistematik cuba menggantikan pekerja tempatan terutama wanita dengan warga asing semata-mata untuk membayar gaji lebih murah.
Sebanyak 2.5 juta atau kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan 11 juta pekerja di negara ini terdiri daripada rakyat asing termasuk yang masuk secara haram.
Menurut Abdul Rahman, kelonggaran penguatkuasaan itu adalah jelas apabila Jabatan Imigresen terpaksa menempatkan pekerja asing di aras tiga ruang letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang baru-baru ini setelah sebahagian besar daripada mereka tidak dituntut oleh ejen atau majikan.
“Saya yakin perkara ini tidak akan berlaku sekiranya kementerian yang meluluskan permohonan ini membuat siasatan teliti bagi memastikan majikan berkenaan benar-benar terdesak untuk mendapatkan pekerja asing,” ujarnya.
Abdul Rahman menegaskan, pihaknya juga mahu sektor perkilangan, stesen minyak dan pusat membeli-belah tidak dibuka kepada pekerja asing kerana masih ramai rakyat tempatan yang berminat bekerja.
Katanya, bagi sektor kawalan keselamatan, ia juga hanya boleh dibuka kepada bekas anggota polis, tentera dan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
“Pekerja asing hanya boleh bekerja di sektor yang tidak digemari rakyat tempatan kerana kotor dan menggunakan banyak tenaga seperti pembinaan dan ladang kelapa sawit serta getah,” tegasnya.
Mengenai angka dua juta yang diberikan oleh Suhakam itu, beliau yakin jumlah wanita Malaysia yang tidak mendapat pekerjaan kerana diambil alih oleh pekerja asing tidak seramai itu.
“Ini berdasarkan perangkaan kita bahawa daripada 2.5 juta pekerja asing di negara ini, kurang daripada 20 peratus adalah terdiri daripada wanita.
“Jika Suhakam mempunyai data bagi menyokong dakwaan ini, mereka perlu mendedahkannya kepada umum kerana angka ini adalah sesuatu yang besar,” jelasnya.

No comments: