Monday, October 22, 2007

Lagi mengenai lambakan pendatang asing

Pertambahan pekerja asing bebankan negara

Mereka bukan saja dominasi pekerjaan pelbagai sektor, malah memenuhi penjara di beberapa negeri SEKARANG ada hampir dua juta pekerja asing di negara kita. Kenyataan ini dibuat baru-baru ini oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow. Isu pekerja asing ini bukan perkara baru. Bermula dengan pekerja dari Indonesia, negara kini mempunyai ribuan pekerja asing dari pelbagai negara seperti India, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Vietnam dan China. Apabila begitu ramai pekerja asing di sesebuah negara, ia menunjukkan dua kemungkinan. Pertama, negara itu boleh diibaratkan sebagai 'lubuk emas' yang menawarkan rezeki lumayan kepada sesiapa yang sanggup membanting tulang.
Kedua, negara berkenaan ketandusan sumber pekerja sehinggakan terpaksa bergantung kepada kudrat pekerja negara lain. Di negara kita hari ini, daripada tapak pembinaan, ladang, kebun sayur, kedai makan, pasar hingga ke pejabat berhawa dingin, rumah kediaman dan pelbagai lagi lokasi, kita boleh lihat pekerja asing. "Kita lihat jumlah itu adalah angka yang tinggi. Apabila jumlah mereka terlalu ramai, kita bimbang akan berlaku kesukaran untuk mengawal pergerakan mereka. Lebih membimbangkan apabila ada yang gagal memperoleh sebarang kerja di negara ini bertindak di luar jangkaan termasuk melakukan jenayah," demikian kata Fu. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri baru-baru ini turut membuat kenyataan bahawa warga asing bukan saja membanjiri pasaran pekerjaan dalam negara, malah turut menjadi hampir sebahagian daripada penghuni penjara di negara ini. Daripada 49,000 penghuni penjara, kira-kira 24,000 adalah warga asing.
Kebimbangan yang disuarakan timbalan menteri itu sudah tentu bukan hanya suara hatinya mahupun pihak kerajaan semata-mata. Pasti majoriti rakyat negara ini turut gusar terutama dari aspek keselamatan. Justeru, apa yang seharusnya dilakukan bagi mengurangkan pergantungan kita kepada pekerja asing ini? Kerajaan meminta majikan tempatan termasuk peladang dan pengusaha industri supaya tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing bagi mengurangkan kadar jenayah dan masalah sosial membabitkan kumpulan berkenaan. Seakan boleh dibaca jawapan yang bakal dilontarkan pihak berkenaan. Alasan 'tiada pekerja tempatan yang mahu bekerja di ladang atau tapak binaan mahupun menjadi pembantu rumah' sudah boleh dijangka. Rata-rata isu ini ada kaitannya dengan kadar upah dan sikap rakyat tempatan yang terlalu memilih kerja berbanding pekerja asing yang lebih kepada 'kurang tapak tangan nyiru ditadahkan' dalam merebut segala peluang pekerjaan di negara ini.
Panas juga telinga kalau mendengar komen orang luar yang menggelarkan rakyat Malaysia sebagai ‘2M’ iaitu malas dan manja. Mungkin ada kebenarannya jika kita ambil kira bilangan pekerja asing yang semakin meningkat. Penasihat Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Dr Hamdan Adnan, berkata bilangan pekerja asing di Malaysia terlalu ramai dan meminta kerajaan membuat pemantauan yang lebih rapi. "Dua sektor utama yang menggunakan pekerja asing ialah pembinaan dan perladangan. Untuk itu, apabila satu-satu majikan membuat permohonan untuk mengambil pekerja asing, apa yang perlu dilihat dan diteliti sebaik-baiknya ialah sama ada permohonan itu wajar atau tidak. "Pihak berkenaan mesti membuktikan yang mereka tidak dapat mencari pekerja tempatan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mereka," tegas Prof Hamdan. Beliau juga berpendapat pihak majikan juga tidak boleh lagi menjadikan alasan pekerja tempatan tidak berdisiplin atau pekerja tempatan menuntut upah yang tinggi untuk mengambil pekerja asing. "Kalau di kampung pekerja buat jalan boleh dibayar sehingga RM100 sehari, mengapa upah yang sama tidak boleh dibayar untuk buruh yang bekerja di bandar. Daripada segi disiplin ini bukan satu masalah kerana ia boleh diatasi," ujarnya. Pihak majikan tidak boleh mengambil jalan mudah menggunakan pekerja asing dengan anggapan langkah itu lebih menjimatkan kos walhal mereka perlu mengeluarkan pelbagai belanja untuk membawa masuk pekerja berkenaan. "Lagi pun negara akan terus menanggung kerugian besar apabila berjuta atau berbilion mata wang negara mengalir keluar," jelas Hamdan yang merujuk kepada wang yang dikirim pekerja asing ke kampung halaman masing-masing. Pada masa yang sama, beliau mencadangkan Jabatan Tenaga Manusia membuat bancian jumlah guna tenaga yang boleh dibekalkan kepada sektor yang amat memerlukan pekerja. Latihan, katanya adalah satu lagi bidang yang perlu diberi perhatian untuk memastikan guna tenaga tempatan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Faktor utama yang menjadi tonggak pembangunan dan kemajuan sesebuah negara ialah modal insan dan ini yang menjadi teras kedua antara lima teras utama misi nasional Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9). Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan RMK-9 pada 31 Mac 2006 berkata: "Kita perlu bertindak pantas. Kita mempunyai kurang 15 tahun untuk capai Wawasan 2020. Kita perlu menjadikan tempoh ini sebagai tempoh yang paling produktif dan paling bermakna, demi mencapai cita-cita kita." Justeru, sama ada berjaya atau gagal usaha menjana modal insan sendiri boleh diukur daripada bilangan pekerja asing yang masih mengaut peluang pekerjaan di negara ini. Pada masa sama, jangan pula kita hanya bertumpu untuk melahirkan cerdik pandai serta intelek dan meminggirkan keperluan menghasilkan golongan pekerja kolar biru. Statistik pengangguran di kalangan graduan dan lepasan Tingkatan Lima yang disebut dalam lingkungan 90,000 orang turut menunjukkan kita bukan kekurangan sumber guna tenaga. Tetapi di mana mereka ini? Begitu juga statistik yang menunjukkan kira-kira 242,190 atau 3.8 peratus daripada 6.3 juta pelajar sekolah di seluruh negara gagal menghabiskan pengajian mereka sehingga Tingkatan Lima. Sekali lagi persoalannya, di mana mereka? Anak ini walaupun tidak cemerlang dalam pelajaran boleh dilatih menjadi pekerja mahir atau separuh mahir. Kesungguhan pihak berwajib menjejaki dan mengasuh golongan yang tercicir ini mungkin dapat mengurangkan pergantungan kita kepada pekerja asing. – Bernama

No comments: